IPOH: Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak kekal 75 orang daripada 22 keluarga di dua PPS setakat pagi Selasa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia selepas PPS Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Meru 2A, Ipoh, ditutup malam Ahad.

Menurutnya, kesemua 75 mangsa banjir berkenaan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dan SK Changkat Lobak di daerah Kerian.

“Seramai 57 mangsa banjir daripada 19 keluarga melibatkan Kampung Beriai, Kampung Selekoh, Kampung Parit Air Hitam 2 dan Kampung Parit Ali Kalang masih ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu,” katanya.

Menurutnya lagi, kesemua mangsa adalah dari Kampung Selekoh, Kampung Beriai, Kampung Parit Air Hitam 2 dan Kampung Parit Ali Kalang.

“Bakinya, seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga masih ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan kesemua mereka merupakan penduduk dari Kampung Matang Tengah, Kampung Changkat Lobak dan Kampung Beriai,” ujarnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan akan berlaku pada sebelah pagi hingga malam di kebanyakan daerah di negeri ini

MetMalaysia turut meramalkan hujan berterusan akan berlaku di daerah Kerian, Larut Matang Selama dan Manjung, esok dan lusa.