Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan memaklumkan, jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut meningkat kepada 10 buah, berbanding enam di sebelah pagi.
Menurutnya, daerah Taiping mencatatkan pertambahan mangsa paling ramai, dengan tambahan dua lagi PPS.
Katanya, dua PPS baharu itu ialah di Dewan Orang Ramai (DOR) Batu Hampar Trong yang menempatkan 17 mangsa dari empat keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Gelugor dengan 48 mangsa dari 12 keluarga.
Selain dua PPS itu, empat PPS dibuka telah sejak awal pagi iaitu DOR Sungai Baru Trong yang menempatkan 39 mangsa dari tiga keluarga; DOR Jebong Kiri, 12 mangsa dari enam keluarga; Masjid Al-Wusta Batu 8, 38 mangsa dari lapan keluarga dan paling ramai Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok yang menempatkan 228 mangsa dari 66 keluarga.
Menurut sekretariat itu lagi, dua buah PPS baharu turut dibuka di Daerah Kuala Kangsar iaitu SK Temong yang menempatkan 21 mangsa dari lapan keluarga dan DOR Kampung Talang Masjid dengan 40 mangsa dari lapan keluarga.
Berdasarkan laporan pada sebelah pagi, hanya sebuah PPS dibuka di Kuala Kangsar iaitu di SK Periang yang menempatkan 49 mangsa dari 16 keluarga.
Dalam pada itu, di Daerah Hilir Perak, masih kekal dengan satu PPS di Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 45 mangsa dari 11 keluarga.