Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semua mangsa dari daerah Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu itu ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).
Daerah Pokok Sena mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 707 orang daripada 224 keluarga yang ditempatkan di PPS Surau Desa KEDA Derang, Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam.
Di Kota Setar, 416 orang daripada 130 keluarga berlindung di PPS SK Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas dan SMK Alor Merah.
Sebanyak 209 orang daripada 72 keluarga di Kubang Pasu pula masih berada di PPS Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.
Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat 6 pagi ini, Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang melebihi paras bahaya.