ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 163 orang daripada 59 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 139 orang daripada 47 keluarga petang tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata dua pusat pemindahan sementara (PPS) baharu telah dibuka di daerah Pokok Sena dan Kubang Pasu.

"Di daerah Kubang Pasu, sebanyak 118 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun manakala jumlah mangsa di PPS Dewan Lubuk Batu yang dibuka pada 7.22 malam masih dalam bancian.

"Kesemua mangsa ini adalah dari Kampung Nagmah, Kampung Belakang Sekolah Dato Wan Kembara, Kampung Kubang Kayu, Kampung Paya Nongmi, Kampung Halban dan Kampung Belakang T-Hotel serta Kampung Paya Lantau," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata di daerah Padang Terap pula sebanyak 45 orang daripada 15 keluarga dari Kampung Tanjung Kanan ditempatkan di Masjid Aisyah Kampung Tanjung Kanan.

"Di daerah Pokok Sena, jumlah mangsa dari Kampung Bukit dan Kampung Menerong yang dipindahkan ke PPS Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang yang dibuka pada 6 petang juga masih dalam bancian," katanya.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran setakat 8 malam, paras air Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu melebihi paras bahaya manakala Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar melebihi tahap amaran.

-- BERNAMA