Di TERENGGANU, banjir situasi beransur pulih dan jumlah mangsa berkurangan kepada 4,751 orang daripada 1,157 keluarga yang berlindung di 16 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 5,853 orang pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan di daerah Kemaman, 4,460 mangsa daripada 1,086 keluarga berlindung di 10 PPS. Cuaca cerah sepanjang hari menyebabkan air semakin surut dan sebahagian penduduk di daerah berkenaan telah pulang ke kediaman masing-masing, manakala di Dungun, 291 mangsa daripada 71 keluarga berteduh di enam PPS sejak semalam.
Di KELANTAN, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 41 orang daripada 10 keluarga, berbanding 307 orang daripada 72 keluarga pada pagi tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1.
Di PAHANG, aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 23 orang berbanding 210 pagi tadi, yang masih ditempatkan di PPS bangunan Bengkel Wanita Kampung Bak Bak (empat mangsa, satu keluarga) dan Balai Raya Kampung Jara (dua mangsa, satu keluarga) di Maran serta SK Teh (17 mangsa, empat keluarga) di Jerantut.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 139 orang daripada 38 keluarga yang berlindung di tiga PPS di Segamat dan Tangkak, berbanding 155 orang pagi tadi.
Pengerusi JPBN Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan di Segamat, PPS Balai Raya Kampung Batu Badak kekal menempatkan 40 mangsa daripada 12 keluarga dan 45 orang daripada 14 keluarga pula berteduh di Dewan Komuniti Kampung Tasek, manakala 54 orang daripada 12 keluarga berlindung di PPS SK Simpang Lima Darat di Tangkak.
Di PERAK, Sekretariat JPBN negeri itu dalam kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa banjir petang kekal 34 orang daripada 11 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di daerah Perak Tengah.
-- BERNAMA