Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Astro Malaysia Berhad, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz; Pengerusi Bumi Armada, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; Pengerusi Interim, Datuk Hamidah Naziadin, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh SEow Eng dan Pengarah Measat, Shaharul Rezza Hassan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, Maxis memberi sumbangan RM2 juta sementara Astro, Bumi Armada dan MEASAT masing-masing menyumbang RM1 juta.
"Astro secara aktif menampilkan komitmen untuk menyokong komuniti yang terjejas akibat krisis banjir baru-baru ini melalui beberapa siri bantuan di bawah Tabung Bantuan Yayasan Astro Kasih.
"Sumbangan orang ramai dan pihak korporat juga digerakkan untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Misalnya, Astro Radio menerusi Tabung Derma Kami Care Misi Banjir turut mengumpul barang keperluan seperti makanan kering dan barangan keperluan rumah," katanya kenyataan itu di sini, pada Khamis.
Selain itu menurut kenyataan itu, mangsa banjir yang layak juga bakal mendapat gantian Astro Box secara percuma.
"Pada masa sama, sukarelawan dari Astro juga bersedia membantu dalam usaha pembersihan dan pemulihan.
"Melalui inisiatif Voice for Good, platform digital dan media Astro juga meningkatkan kesedaran, mengumpulkan sokongan dan sentiasa menyampaikan situasi terkini banjir," jelasnya.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, Maxis mengedarkan 4,000 kad SIM serta tambah nilai mudah alih percuma di pusat pemindahan sementara (PPS) serta barang keperluan kepada 1,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir.
Di samping inisiatif mitigasi rangkaian dan bantuan komuniti itu, kenyataan itu berkata, Maxis dan Measat turut memastikan kesalinghubungan di kawasan yang dilanda banjir dengan menyediakan ketersambungan jalur lebar WiFi, mudah alih dan satelit secara percuma di PPS dan kawasan terjejas serta untuk operasi menyelamat.