KUANTAN:Berada di alang kayu bumbung rumah hampir 10 jam bagi menyelamatkan diri selepas rumah dinaiki air pastinya pengalaman seumur hidup yang tidak akan dilupakan Nur Aleeya Maisarah Mansor, 18, ketika berdepan banjir besar semalam.

Menceritakan pengalaman itu, pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan berkata beliau sama sekali tidak menjangkakan akan berhadapan dengan keadaan sedemikian kerana rumahnya pernah dilanda banjir sebelum ini.

"Kebiasaannya, walaupun kawasan ini banjir, tidak pernah air naik sehingga ke hadapan kawasan rumah, hanya naik di jalan tepi rumah. Kami langsung tidak menjangka banjir besar seperti ini akan berlaku, buat pertama kali air naik menghampiri bumbung rumah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, keadaan berlaku sekelip mata apabila rumah keluarganya di Kampung Ajai, Dong, Raub yang dalam proses pengubahsuaian mula dinaiki air pada jam 12 tengah hari secara mendadak sehingga memasuki rumah.

"Pada pukul 2 petang, air sudah melepasi paras pinggang, maka kami semua membuat keputusan untuk duduk di atas perancah yang digunakan untuk kerja pengubahsuaian rumah...kami panjat menggunakan tangga.

"Bagaimanapun, keadaan bertambah teruk pada pukul 5 petang, air sudah meningkat menenggelamkan 'staging', kami panjat lebih tinggi ke atas alang rumah.

"Dari pagi kami tidak sempat makan dan minum, hanya makan gula-gula yang kebetulan ada di dalam beg saya," kata anak tunggal itu.

Susulan arus deras, Nur Aleeya Maisarah berkata dia bersama bapanya Mansor Omar, 50, dan ibunya Ayusyeila Zulaikha Subari, 44, hanya dipindahkan anggota penyelamat pada jam 2.56 pagi sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Pia.

"Pasukan keselamatan cuba masuk berkali-kali untuk menyelamatkan kami tetapi air sangat deras dan mereka khuatir bot akan terbalik. Namun, saya bersyukur kerana kami akhirnya berjaya diselamatkan dan terima kasih kepada semua pihak yang turut sama meminta bantuan bagi pihak kami," katanya.

Banjir itu mengakibatkan mereka kini kehilangan barang berharga seperti kereta selain pakaian dan barangan elektrik.

"Tidak ada apa yang dapat diselamatkan termasuk buku dan pakaian sekolah...saya harap keadaan ini akan cepat pulih," ujarnya.

Daerah Raub mencatatkan 1,616 mangsa banjir daripada 459 keluarga melibatkan 46 PPS beroperasi setakat 4 petang tadi.

-- BERNAMA