KUALA LUMPUR: Pemimpin Global School Leaders (GSL) dengan kerjasama YTL Foundation melancarkan Malaysia Teacher Prize pada Selasa, anugerah edisi tempatan bagi Global Teacher Prize dari Varkey Foundation.

Anugerah yang menawarkan hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM50,000 itu menyasarkan 1,000 penyertaan daripada guru-guru di seluruh negara dalam penganjuran sulungnya.

Selain hadiah utama, empat peserta akhir akan menerima wang tunai RM5,000 manakala 10 peserta terbaik juga akan diberi bantuan profesional untuk membantu mereka dalam pelbagai aspek.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemimpin GSL, Cheryl Ann Fernando berkata, dalam usaha menarik lebih banyak penyertaan, pihaknya akan cuba menjalinkan kerjasama termasuk dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“kami akan kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak kementerian untuk cuba pergi ke seberapa banyak sekolah yang kami boleh.

“Memandangkan ini adalah kali pertama anugerah seperti ini diadakan, jadi kami tetapkan tanda aras 1,000 penyertaan tapi sudah pasti, kita harap dapat lebih daripada 1,000 penyertaan.

“Namun untuk masa sekarang, selama 50 hari permohonan dibuka, dari hari ini sampai 30 Jun 2022, kami akan bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan, media, PPD dan JPN untuk cuba war-warkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Anugerah Malaysia Teacher Prize di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Samuel Isaiah yang juga seorang guru berkata, inspirasi di sebalik anugerah itu adalah pelajar, dengan menumpukan usaha untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar.

“Jadi impak ke arah murid-murid itu sendiri yang menjadi inspitasi kepada saya dan bagi saya, bila mengajar di sekolah Orang Asli, satu masalahnya ialah mereka selalu dipandang rendah dan diperlekehkan.

“Jadi bila kami tunjukkan bersama apa yang kami buat setiap hari dalam bilik darjah bakal membawa perubahan besar dalam hidup mereka, itu menjadi inspiras untuk saya membawa perkara itu ke peringkat global.

“Saya rasa cikgu-cikgu di luar sana, kalau mereka nak cari inspirasi, mereka tak perlu pergi jauh, depan mata ada. Murid-murid mereka sendiri itu adalah inspirasi mereka,” ujarnya.

Ogos nanti, 10 guru terbaik yang disenarai pendek akan diumumkan nanti manakala lima guru terbaik dan pemenang hadiah utama akan diumumkan dalam majlis anugerah pada Oktober 2022.
-ENDS-