PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menjalin kerjasama lebih erat khususnya dalam bidang pendidikan keusahawan, teknologi digital dan teknologi kreatif yang boleh memberi manfaat terutamanya kepada masyarakat di luar bandar.

Persefahaman itu dicapai dalam perbincangan antara Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura Masagos Zulkifli yang melakukan kunjungan hormat ke atas Mahdzir di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di sini hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KPLB sempena kunjungan hormat itu, menteri Malaysia dan Singapura itu turut bertukar pandangan dalam hal pembangunan sosial dalam pertemuan kira-kira sejam.

Menurut kenyataan itu, Masagos juga berharap sektor pelancongan kedua-dua negara kembali rancak selepas Malaysia membuka sempadan antarabangsa bagi kemasukan pelancong asing terutamanya bagi industri ekopelancongan dan agropelancongan serta pelancongan kesihatan.

Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Hal Ehwal Ugama Islam Singapura berada di Malaysia bagi lawatan kerja selama tiga hari bermula hari ini. Lawatan kerja itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura yang terjalin sejak 59 tahun yang lalu.

-- BERNAMA