Undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan sedang dirangka yang akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja terlibat termasuk syarikat dari negara luar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata undang-undang yang dicadangkan berbeza dengan undang-undang Singapura yang membenarkan tindakan diambil terhadap syarikat milik negara itu sahaja.

Katanya Malaysia tidak boleh ketika ini mengikut langkah Singapura untuk mengambil tindakan undang-undang kerana penggubalan perundangan jerebu itu masih di peringkat kementerian.

"Singapura baru sahaja gazetkan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 dan diguna pakai pada tahun ini membolehkan mereka mengambil tindakan seperti saman kepada syarikat milik mereka yang telah menyebabkan jerebu.

"Jika (kita ada) bidang kuasa melalui undang-undang yang sedang dirangka itu kita boleh ambil tindakan kepada semua pihak sama ada pihak dari Malaysia, Indonesia atau Singapura," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Wan Junaidi menyeru Indonesia supaya segera menguatkuasakan undang-undang yang tegas kepada mereka yang terlibat dalam kebakaran hutan dan menyebabkan jerebu.

"Saya sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengenai situasi jerebu di negara ini dan berharap beliau menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia secepat mungkin," katanya.