Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, untuk tujuan itu, kementerian telah merangka tiga fokus utama iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti dan melindungi mangsa; serta menambah baik proses pendakwaan terhadap pelaku jenayah pemerdagangan orang.
“Sebahagian NGO kita, fungsi mereka ialah mewujudkan rumah perlindungan, KDN tak mampu nak urus semua.
“Kita ada agensi penguatkuasaan, kita kenal pasti, kita tangkap tapi tugas untuk melindungi mangsa anti pemerdagangan kita boleh dapatkan kerjasama NGO dan kita sudah pun lakukan.
“Kita akan perhebatkan lagi dan ini akan beri weightage yang kuat dalam penilaian untuk meletakkan kita pada rating yang baik, bukan sekadar membanteras, tangkap pelaku tapi apabila mangsa dikenal pasti, kita hulurkan bantuan tambahan iaitu beri perlindungan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia, Majlis Apresiasi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) 2024, pada Selasa.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran MAPO Integrated Data System (MIDS) yang merupakan sistem pengurusan data bagi menyelaras, mengumpul, dan memusatkan data berkaitan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang berlaku di negara ini.
Dalam pada itu katanya, Malaysia kembali mencapai kedudukan Tahap 2 dalam laporan JNAS mengenai Pemerdagangan Orang bagi tahun 2024, setelah kali terakhir berada pada tahap itu tujuh tahun lalu.
“Dengan data itu nanti kita berpeluang menganalisis dan kita akan rumus dalam bentuk polisi.
“Kita akan guna data yang dianalisis itu untuk membuat unjuran dalam mengatur langkah mitigasi, kalau ia menuju ke arah menunjukkan trend peningkatan, jadi bila kita analisis data kita boleh ramal apa yang berlaku di masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan, enam Baitul Mahabbah disasar dibuka tahun ini di Kedah, Kelantan dan Johor, dengan tiga daripadanya iaitu di Nilai, Papar dan Bekenu, sudah pun siap.
Jelasnya, pihaknya merancang memohon tambahan bajet bagi meneruskan projek itu tahun hadapan.
“Depo imigresen ada 19 buah dengan kapasiti lebih kurang 20,000. Sekarang ini di depo ada 13,000, angka itu flunctuate dan daripada jumlah 13,000 itu, biasanya purata kanak-kanak di bawah umur 18 tahun lebih kurang 1,300.
“Kami ambil yang umur 10 tahun ke bawah, dia dan penjaganya kami pindahkan ke Baitul Mahabbah. Ada yang tak ada penjaga tapi dia boleh urus diri sendiri pun kita asingkan. Inilah jumlah 170 yang ada dalam tiga Baitul Mahabbah sekarang,” katanya.