KUALA LUMPUR: Penglibatan delegasi Malaysia dalam Persidangan Parti-Parti ke-16 (COP16) dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) yang sedang berlangsung di Cali, Colombia mengukuhkan kerjasama bagi konservasi biodiversiti khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti, pemindahan teknologi dan pembiayaan.

Dalam persidangan yang bermula 21 Okt hingga 1 Nov ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengetuai 17 delegasi Malaysia akan mengetengahkan komitmen negara dalam mengintegrasikan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF) ke dalam Pelan Tindakan dan Strategi Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP).

Usaha itu dilaksanakan menerusi Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK) yang telah diluncurkan pada 24 Okt 2023.

"Malaysia menjadi antara negara parti yang terkehadapan dalam melaksanakan perkara ini dan pencapaian ini meningkatkan reputasi Malaysia di arena antarabangsa kerana setakat ini 80 peratus daripada negara parti masih belum berbuat demikian," menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu Malaysia telah meratifikasi dan menjadi parti kepada CBD pada 24 Jun 1994 bagi mengukuhkan komitmen dalam pemuliharaan dan penggunaan biodiversiti secara lestari serta memastikan perkongsian faedah yang terhasil daripadanya secara adil dan saksama.

Persidangan CBD COP16 turut berlangsung serentak dengan protokol berkaitan iaitu Mesyuarat ke-11 COP sebagai Mesyuarat Parti-Parti (MOP) untuk Protokol Cartagena mengenai Keselamatan Bio dan MOP kelima Protokol Nagoya mengenai Akses kepada Sumber Genetik dan Perkongsian Adil dan Saksama daripada Penggunaannya.

Persidangan itu diadakan dua tahun sekali dan dihadiri 196 negara parti bagi memastikan pelaksanaan obligasi di bawah CBD serta menetapkan hala tuju dalam pengurusan biodiversiti untuk dilaksanakan oleh negara parti.

Nik Nazmi dan delegasi turut menghadiri mesyuarat peringkat menteri, mesyuarat dua hala, lawatan kerja teknikal berkaitan konservasi biodiversiti selain acara sampingan.

-- BERNAMA