Beliau berkata, Malaysia akan dapat menumpukan usaha untuk terus membangunkan negara berasaskan semua ciri itu yang ditambah dengan kestabilan politik.
"Ini merupakan ciri yang amat baik untuk kita menuju sebagai sebuah negara yang terus membangun dari sudut ekonomi, dan dengan ekonomi yang kukuh itu kita mengharapkan kedudukan sosial rakyat akan meningkat.
"Seterusnya kita akan dapat memberi tumpuan, dengan kestabilan politik yang wujud ini, untuk terus membangunkan dan meningkatkan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta larian Duo Highway Challenge 2024, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan perasaan sukacita dengan keadaan ekonomi dan prestasi perdagangan negara yang bertambah baik dan menunjukkan peningkatan.
Seri Paduka Baginda juga berharap agar kerajaan terus berusaha merancakkan ekonomi negara bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, pada Sabtu.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang amat baik dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global.
Ini terbukti apabila negara merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.9 peratus bagi suku kedua 2024 berbanding 4.2 peratus pada tempoh sama 2023, katanya.
Beliau berkata, selain itu, jumlah pelaburan, eksport dan peluang pekerjaan juga meningkat, di samping inflasi yang kekal rendah. - BERNAMA