Malaysia telah berjaya memenangi Anugerah Destinasi Pelancongan Keluarga Terbaik pada Anugerah Pelancongan India 2014 Majalah Lonely Planet.

Pengarah Pelancongan Malaysia di India, Manoharan Periasamy berkata lokasi yang disyorkan Lonely Planet adalah berdasarkan pilihan tinggi oleh pelancong serta ia dipilih berdasarkan pilihan pembaca majalah itu sendiri.

“Kami rasa berbangga kerana diberi penghormatan ini. Kami sentiasa membuat promosi bagi Malaysia sebagai satu destinasi yang sesuai buat semua lapisan masyarakat terutama buat percutian sekeluarga,” katanya selepas menerima anugerah tersebut di majlis yang berlangsung di Mumbai, Maharashtra baru-baru ini.

Anugerah Lonely Planet itu merupakan pencapaian yang penting buat Malaysia, sebuah negara yang sentiasa meletakkan dirinya sebagai destinasi terbaik bagi pelancongan keluarga.

“Sama ada membeli belah, mengembara, taman tema mahupun bermain golf, Malaysia adalah satu destinasi dimana setiap ahli keluarga dapat membuat aktiviti mengikut kegemaran masing-masing,” tambahnya.

Malaysia sebelum ini memenangi Anugerah Destinasi Makanan dan Minuman Terbaik (Antarabangsa) pada Anugerah Pelancongan India 2013 Majalah Lonely Planet.