Malaysia mampu mencapai kedudukan lebih baik dalam Program Penilaian Murid Antarabangsa (Pisa) 2015 melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), seterusnya meletakkan negara setanding piawaian antarabangsa.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan hari ini, PPPM akan dapat menangani cabaran sedia ada serta mengubah sistem pendidikan negara supaya lebih memenuhi keperluan ekonomi global yang semakin kompetitif.

"Walaupun keputusan Pisa 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini agak tidak memberangsangkan, kementerian yakin Malaysia mampu mencapai kedudukan lebih baik dalam Pisa 2015 melalui pelaksanaan PPPM yang dilancar 6 Sept lalu," katanya.

Kenyataan itu menyebut keputusan Pisa 2012 menunjukkan peningkatan pencapaian dalam Matematik sebanyak 17 mata iaitu daripada 404 dalam Pisa 2009+ kepada 421.

"Dalam ujian Matematik, Malaysia berada pada kedudukan ke-52 daripada 65 negara yang mengambil bahagian berbanding kedudukan ke-57 dalam Pisa 2009," katanya.

Menurut kenyataan itu, keputusan Sains pada 2012 pula menunjukkan pencapaian yang hampir serupa dengan Pisa 2009, iaitu menurun dua mata daripada 422 kepada 420 dan berada pada kedudukan ke-53, jatuh satu tangga berbanding sebelumnya.

Pencapaian Pisa 2012 dari aspek bacaan pula menurun 16 mata daripada 414 kepada 398 dan Malaysia menduduki tempat ke-59 berbanding ke-55 dalam Pisa 2009.

Kementerian Pendidikan juga akan terus komited memperhebat usaha dan inisiatif bagi melonjakkan sistem pendidikan negara untuk berada dalam kalangan negara sepertiga teratas sistem pendidikan terbaik di dunia.

Kenyataan itu menyebut Malaysia mengambil bahagian dalam Pisa buat pertama kali pada 2010 (Pisa 2009+) di mana lebih kurang 5,000 murid dari 154 sekolah dinilai manakala seramai 5,700 murid bagi Pisa 2012, yang melibatkan 164 sekolah sebelum PPPM dilancar.

Kementerian mengenal pasti kelemahan dalam pelaksanaan kurikulum sebelum ini yang kurang menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), menyebabkan murid kurang berkemampuan untuk mengaplikasi kemahiran itu semasa menjawab soalan pentaksiran berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sebagai langkah segera, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Pisa yang diterajui Bahagian Pembangunan Kurikulum serta dianggotai kesemua bahagian profesional kementerian.

Jawatankuasa itu akan mengenal pasti dan memantau inisiatif yang perlu dijalankan untuk penambahbaikan program penilaian murid antarabangsa.

Kementerian juga sedang menyusun pelbagai tindakan penambahbaikan yang selari dengan amalan terbaik antarabangsa dan menangani segera kelemahan yang dikenal pasti melalui penilaian Pisa.

Satu daripada inisiatif dalam PPPM untuk meningkatkan prestasi Malaysia dalam TIMSS serta Pisa ialah dengan membangunkan modul latihan Matematik dan Sains bagi menangani jurang khusus dalam kandungan dan kemahiran yang diuji dalam Pisa dan TIMSS serta format soalan Pisa dan TIMSS.

Kementerian turut menambah baik inisiatif berkaitan KBAT dan menambah kemahiran guru yang akan meningkatkan hasil pembelajaran bagi keseluruhan murid.

Menurut kenyataan itu, bagi menjayakan inisiatif berkenaan, kementerian sedang mengemas kini kurikulum sekolah rendah dan menengah agar selari dengan piawaian antarabangsa.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang diperbaharui dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang baharu akan dilancar pada 2017.

"Di samping itu, kementerian juga menambah baik sistem penilaian kebangsaan dengan memasukkan unsur KBAT dalam ujian. Pada 2016, 40 peratus soalan KBAT akan dimasukkan ke dalam kertas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala 50 peratus untuk kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Kementerian juga sedang memperhebat sokongan kepada guru dengan menambah baik cara mereka menyampaikan kurikulum itu dan pelbagai program bagi mempertingkat kemahiran sedang dirangka untuk mempersiapkan guru dengan KBAT seperti program i-Think.

"Di samping itu, program peningkatan kemahiran literasi bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan Matematik (Linus 2.0) juga dijangka menyokong keputusan yang lebih baik dalam TIMSS dan Pisa," menurut kenyataan itu.