KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan dan bersasar oleh rejim Zionis Israel ke atas orang awam di Gaza, yang mengakibatkan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, termasuk wanita, kanak-kanak, serta kakitangan perubatan dan media.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan sengaja menyasarkan hospital, termasuk serangan terbaru yang kejam ke atas Hospital Kamal Adwan di mana pesakit dan kakitangan perubatan dipaksa keluar, menerima layanan tidak berperikemanusiaan dan memusnahkan infrastruktur penting, jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

"Serangan udara tanpa henti, pemindahan secara paksa dan penyasaran sistematik terhadap kawasan kediaman serta zon yang diiktiraf selamat merupakan tindakan genosid dan jenayah perang yang nyata," kata Kementerian Luar Negeri yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra pada Jumaat.

Wisma Putra berkata taktik menghalang yang digunakan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah merencatkan kemajuan dalam rundingan gencatan senjata, memburukkan lagi penderitaan rakyat Palestin, dan menggagalkan usaha diplomatik penting untuk mencapai gencatan senjata segera dan kekal.

Kementerian itu berkata masyarakat antarabangsa mesti memikul tanggungjawab kolektif untuk menghentikan kekejaman dan kemusnahan ini, melindungi nyawa orang yang tidak bersalah, serta memastikan mereka yang bertanggungjawab atas genosid dan jenayah perang diadili.

"Keamanan, keadilan dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan.

"Dalam hal ini, perbuatan genosid dan pendudukan haram di Wilayah Palestin yang Diduduki mesti dihentikan dan sebuah negara Palestin yang merdeka serta berdaulat diwujudkan, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

"Palestin berhak mendapatkan tempatnya yang sah sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata kementerian itu.

-- BERNAMA