KUALA LUMPUR: Malaysia disasarkan sebagai “rakan” dalam rangkaian bekalan mineral kritikal oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara kumpulan G7, kata Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee.

Howard yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia Untuk Mineral Kritikal berkata bahawa beliau sudah menyampaikan mesej kepada delegasi dari AS dan G7 tentang kesediaan Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan mineral kritikal global memandangkan wujud bekalan tinggi untuk sumber mineral berkenaan di Malaysia serta lokasi strategik negara di Asia Tenggara.

Beliau terdahulu memaklumkan sudah mengadakan pertemuan dengan American Chamber of Commerce (AMCHAM) bersama pihak-pihak berkepentingan Amerika Syarikat dan Malaysia yang berkait rapat dengan mineral kritikal.

Menerusi pertemuan berkenaan, beliau dimaklumkan oleh delegasi AS bahawa Malaysia berpeluang untuk menyertai Perkongsian Keselamatan Mineral (Minerals Security Partnership) (MSP) yang dianggotai 14 negara lain, yang sekali gus mempercepat pembangunan rantaian bekalan mineral yang pelbagai dan mampan dengan memudahkan sokongan kewangan dan diplomatik untuk projek strategik.

“Kaukus berpendapat bahawa mesyuarat ini adalah satu saat penting dalam usaha Malaysia membentuk suatu strategi nasional acuan aras global bagi mineral ini, pada ketika dunia sedang bergolak namun menzahirkan pelbagai potensi,” jelas Howard.

“Penglibatan ini juga memiliki kepentingan strategik yang besar untuk mengekalkan dan memperkuat hubungan perdagangan dan diplomatik Malaysia-AS dalam bidang polisi yang begitu penting secara geopolitik globalnya,” katanya lagi.

Tambah Howard, keutamaan bersama ketika ini ialah untuk meneroka inovasi dasar yang signifikan dan kerjasama yang dipertingkat dari kedua-dua pihak.

Jelasnya ia demi menjamin rantaian bekalan unsur nadir bumi (REE), meningkatkan autonomi strategik, berkongsi dan melindungi teknologi baharu yang kritikal yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak dan seterusnya seluruh dunia.