KUALA LUMPUR: Malaysia dianugerahkan tanah seluas 0.6 hektar oleh kerajaan Timor-Leste sebagai simbolik memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kenyataan di sini hari ini beliau berkata tanah itu boleh dimanfaatkan untuk pembinaan Kedutaan Malaysia serta pelbagai kegunaan untuk rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan.

Beliau yang dalam rangka lawatan rasmi ke Timor-Leste selama tiga hari bermula Rabu lepas berkata pada lawatan itu, beliau bertemu dengan Presiden Jose Ramos-Horta, Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao dan beberapa pemimpin lain.

Beliau berkata pertemuan itu memberikan peluang kepada Malaysia dan Timor-Leste mengembangkan potensi kerjasama dan meneroka bidang baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"Beberapa pertemuan dan perbincangan telah dilakukan berkisar kepada usaha memperkasa hubungan dua hala termasuk tumpuan kepada sektor-sektor tertentu seperti pembangunan desa, perumahan, industri halal, pemerkasaan sektor pelancongan yang semakin berkembang, serta usaha Timor-Leste untuk menjadi anggota baharu di dalam ASEAN," katanya.

Ahmad Zahid yang mengakhiri lawatan rasmi hari ini berkata usaha meningkatkan perdagangan dua hala turut dilakukan dan beliau mencadangkan supaya TradeInvest Timor-Leste dilaksanakan untuk menjalankan misi perdagangan dan pelaburan ke Malaysia bagi meneroka pelbagai peluang pelaburan yang berpotensi untuk manfaat kedua-dua negara.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Malaysia, melalui Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) juga komited berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Timor-Leste di bawah rangka Kerjasama Selatan-Selatan dan setakat ini, 781 peserta dari negara itu telah dilatih dalam pelbagai kursus dan program bantuan teknikal yang ditawarkan.

"Selain itu Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan menjemput pemimpin dan pegawai kerajaan Timor-Leste yang terlibat secara langsung dengan pembangunan luar bandar datang ke Malaysia, bagi menawarkan peluang bagi mereka melakukan kajian kes dan menimba pengalaman Malaysia membangunkan luar bandar," katanya.

Ahmad Zahid berkata keberhasilan lawatan rasmi ke Timor-Leste ini turut diterjemah melalui pemeteraian Surat Niat (LoI) antara UniKL dan Kementerian Pendidikan Tinggi Timor-Leste bagi penubuhan pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara berkenaan.

"UniKL juga bersedia menawarkan biasiswa kepada 50 pelajar Timor-Leste yang layak untuk melanjutkan pengajian Master dan PhD di institusi tersebut," katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan rakyat Timor-Leste yang menyambut Ulang Tahun Referendum yang ke-25, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) turut meminta wakil Halal Development Corporation (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membantu usaha komuniti Islam di Timor-Leste mewujudkan sebuah badan pensijilan sendiri bagi membangunkan potensi halal di negara terbabit.

-- BERNAMA