Malaysia telah meletakkan kedudukannya sebagai destinasi untuk pendidikan tinggi yang ideal kerana menawarkan program pembelajaran diiktiraf dunia, yuran pengajian yang munasabah, serta kos kehidupan berpatutan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Berucap di hadapan 50 delegasi termasuk komuniti perniagaan dan ejen pengambilan dari Kazakhstan, Idris berkata lebih ramai pelajar dari negara berkenaan perlu mempertimbangkan untuk melanjutkan pengajian tinggi di sini kerana terdapat penerbangan terus di antara dua negara.

"Kazakhstan adalah rakan penting Malaysia dalam agenda pendidikan tinggi, dengan potensi kerjasama antara kementerian, universiti dan institusi di kedua-dua buah negara.

"Dengan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi yang ideal untuk Kazakhstan, kerjasama di antara dua negara dapat dicapai dalam menghadapi era industri global," katanya dalam ucaptama bertajuk 'Developing Talents for the 4th Industrial Revolution' di sini hari ini.

Ucaptama itu disampaikan sempena acara pertukaran perniagaan - 'Education Malaysia - Kazakhstan Workshop' yang dianjurkan oleh Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS).

Bengkel itu mengumpulkan 20 institusi pendidikan tempatan bertemu delegasi Kazakhstan yang mana kedua-dua pihak membincangkan kaedah untuk membentuk perjanjian bagi pengambilan pelajar Kazakhstan yang ingin melanjutkan pengajian di negara ini.

Menurut kenyataan oleh EMGS, bengkel itu diadakan bersempena lawatan kerja tujuh hari delegasi Kazakhstan ke Malaysia yang akan dibawa melawat ke lapan institusi pendidikan di sekitar Kuala Lumpur dan Langkawi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa dalam ucapannya berkata Kazakhstan mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam sektor perindustrian, kewangan Islam, pembangunan produk halal dan pelancongan serta negara itu ingin bekerjasama dengan Malaysia untuk membangunkan bidang-bidang berkenaan.

"Jelasnya, pendidikan adalah kunci kepada sebarang perubahan positif atau transformasi. Bidang kewangan Islam, hospitaliti dan pelancongan, pembuatan dan pembangunan produk halal adalah antara pengkhususan kami dan Pendidikan Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang berkesan kepada rakyat Kazakhstan dalam latihan dan pembangunan bakat," katanya.

Rujhan juga berkata mana-mana pelajar Kazakhstan yang telah menerima surat tawaran dari institusi tempatan di sini boleh memohon visa pelajar dengan EMGS melalui platform dalam talian.

"Sekiranya semua dokumen yang dikemukakan lengkap dan mematuhi keperluan, Surat Kelulusan Visa (VAL) akan dikeluarkan oleh EMGS dalam masa 14 hari bekerja," katanya.

-- BERNAMA