KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengamalkan dasar luar yang pragmatik dan bersahabat dengan semua pihak tanpa mengetepikan kedaulatan negara atau menjadi boneka kepada mana-mana kuasa asing, kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Mengulas kritikan yang dilontarkan dalam sebuah penulisan terbitan majalah The Economist baru-baru ini, pemerhati politik dan pakar bidang hubungan antarabangsa itu berkata kritikan berkenaan seolah-olah menggambarkan Malaysia selama ini ialah negara yang liberal dan menyokong semua dasar Barat.

Mohd Azizuddin berkata, Malaysia sememangnya bukan negara liberal, sebaliknya sebagai negara berdaulat yang berhak menentukan hala tuju politik, sosioekonomi dan pentadbirannya mengikut acuan sendiri, telah mengamalkan dasar hubungan luar yang neutral dan terbuka, iaitu bersahabat dengan sesiapa sahaja yang boleh membawa kebaikan kepada kemakmuran dan kepentingan nasional.

"Kritikan daripada majalah ini, kita tahu mereka mendukung fahaman liberalisme yang melihat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa dasar luar Malaysia ke arah pihak yang dianggap sebagai musuh Barat seperti kerjasama kita dengan Rusia, China dan negara Timur.

"Ini satu tuduhan atau kritikan yang tidak adil kerana mereka sudah menganggap Malaysia atau Perdana Menteri (Anwar) sendiri ialah pro-Barat yang sudah lari jauh daripada dasar liberal atau tidak demokratik, padahal kita bukan pro-Barat," katanya kepada Bernama.

The Economist yang menerbitkan artikel bertajuk Why does the West back the wrong Asian leaders? antara lain mengkritik Anwar yang dikatakan mendapat sokongan Barat sebelum ini, namun tidak lagi bersama Barat kerana menjalinkan hubungan yang baik dengan musuh Barat seperti Rusia, China dan secara terbuka berjumpa pemimpin Hamas yang terbunuh di Iran baru-baru ini iaitu Ismail Haniyeh.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata secara umumnya Malaysia sememangnya bersama Barat namun ia dalam konteks menjalinkan kerjasama perdagangan dan pelaburan asing, sama seperti kerjasama dengan negara-negara lain, sekali gus mewujudkan kemakmuran ekonomi yang lebih tuntas untuk negara.

Beliau berpendapat pihak Barat dilihat mungkin bimbang dengan hasrat Malaysia untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) yang disertai musuh Barat, selain kelantangan Anwar menyokong perjuangan Palestin pada peringkat global.

"Dalam konteks ketegasan Anwar berhubung isu Palestin di pentas antarabangsa, beliau menjadi satu-satunya pemimpin secara terbuka mengkritik Barat yang menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin ... ini menampakkan kritikan konstruktif Anwar menyebabkan Barat (The Economist) berasa tidak selesa.

"Jati diri Anwar masih kekal, perjuangan mengenai Palestin ketika dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) diteruskan, malah pendekatan ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu dan sekarang iaitu kerjasama demi kemakmuran bersama masih sama dan diteruskan ... ada kekonsistenan di situ.

"Dalam masa yang sama, Malaysia menjadi kuasa pertengahan sebagai suara kepada negara-negara yang tersisih ke pentas lebih besar pada peringkat global," katanya.

Sementara itu, profesor bidang politik dan hubungan antarabangsa itu turut menyelar dakwaan kononnya kepimpinan Anwar berubah apabila menjadi Perdana Menteri berbanding sebagai pembangkang dengan menyifatkan ia tidak tepat, kerana agenda reformasi yang dibawa oleh pemimpin itu kini lebih tersusun, berhati-hati dan berfokus.

Sebagai contoh katanya, reformasi ekonomi menerusi dasar penyasaran subsidi yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Anwar telah memberi impak positif terhadap ekonomi negara serta pelaburan asing dan tempatan.

"Kritikan penulisan itu seolah-olah Anwar sudah lupa terhadap perjuangan reformasinya, sedangkan Perdana Menteri masih membawa agenda reformasi namun lebih tersusun iaitu pembaharuan ekonomi ... matlamat masih sama dan keutamaan diberikan kepada beberapa perkara," katanya.

Selain itu, Mohd Azizuddin menyifatkan kritikan 'nakal' The Economist terhadap kelangsungan penggunaan Akta Hasutan di negara ini, jelas membuktikan mereka tidak memahami perspektif politik di Malaysia dan melihatnya hanya daripada perspektif Barat yang songsang.

Dalam konteks langkah Perdana Menteri meneruskan pelaksanaan akta yang pernah diperjuangkan beliau sendiri untuk dipinda dan digugurkan dahulu, adalah lebih berbeza iaitu tindakan hanya dikenakan kepada pihak yang memanipulasi kebebasan bersuara yang boleh menggugat keharmonian Malaysia seperti memainkan isu 3R (kaum, agama dan institusi raja).

"Justeru, akta itu masih relevan dan mengalami banyak pindaan. Kini tiada siapa akan dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan sekiranya mereka mengkritik pemimpin negara, hanya dikenakan kepada pihak yang memanipulasi kebebasan bersuara dan sentuh 3R," katanya.

-- BERNAMA