KUALA LUMPUR: Malaysia dan kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi sebagai mekanisma dua hala yang menyeluruh di peringkat Kementerian Luar.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawat, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, semalam.

Hishammuddin memaklumkan, dengan adanya jawatankuasa itu, ia akan berupaya membuka lebih banyak jalan usaha sama berhubung pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama termasuk keselamatan politik serantau dan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca COVID-19, haji dan umrah, keselamatan makanan serta perdagangan minyak sawit melibatkan kedua-dua negara.

"Mengakui kepentingan untuk membina pelan pemulihan ekonomi yang kuat dan berdaya tahan susulan pandemik COVID-19, kami juga bersetuju untuk memupuk kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk berkaitan teknologi dan inovasi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga
Arab Saudi,  Putera Abdulaziz bin Salman bin Abdulaziz yang disifatkannya sebagai produktif.

Dalam pertemuan itu antara perkara yang dibangkitkan katanya, adalah termasuk kerjasama dua hala untuk terus  mengekalkan kestabilan pasaran minyak serta kaedah meningkatkan peluang pelaburan antara kedua-dua negara.

"Selain pertemuan dengan kedua-dua menteri itu, saya juga ada bertemu dengan beberapa kepimpinan tertinggi Kerajaan Diraja Arab Saudi.

"Lawatan kerja ini telah menyumbang kepada usaha mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara," tambahnya lagi.

Hishammuddin berkata, Malaysia dan kerajaan Arab Saudi terus menikmati hubungan persaudaraan yang erat dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pengajian tinggi dan urusan haji.

Katanya, pada tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan jumlah AS$4.83 bilion (RM20.27 bilion) dan Arab Saudi adalah rakan dagang kedua terbesar di Malaysia di Asia Barat.

Beliau yang menzahirkan gembira dengan situasi hubungan dua hala itu menegaskan komitmen teguh untuk meningkatkan usahasama dua hala sedia ada ke peringkat strategik.