Pertemuan berkenaan dijadual diadakan sebelum Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam.
Walaupun agenda pertemuan berkenaan belum dapat dipastikan, tetapi dijangka menyentuh isu kekejaman regim Zionis dan ketegangan di rantau Asia Barat.
Perdana Menteri turut dijangka berbincang dengan Putera Mahkota Kuwait tentang kerjasama ASEAN-GCC, memandangkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN juga bakal menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC tahun depan.
Sementara itu, dalam pertemuan empat mata dengan Najib, Anwar dijangka akan menyatakan sokongan Malaysia terhadap Lubnan yang kini berdepan dengan 'kegilaan' Israel.
Malaysia juga terkesan secara langsung dengan ketegangan di Lubnan susulan insiden serangan Israel yang mengakibatkan enam anggota pengaman Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) cedera di selatan negara berkenaan.
Setelah pertemuan itu selesai, Anwar dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam.
Anwar sebelum ini memaklumkan bakal menyampaikan mandat Malaysia bagi mengecam keganasan Israel dalam sidang berkenaan.
Beliau juga dijangka menjadikan sidang ini sebagai platform bagi menyampaikan pandangan terhadap cadangan untuk mengusir Israel daripada keanggotaan PBB, seperti mana yang dimaklumkan di Dewan Rakyat minggu lalu.
Sidang ini dianjurkan dalam konteks rantau Asia Barat yang semakin tegang susulan serangan Israel ke atas Lubnan, dan ditambah pula dengan perkembangan politik dunia, setelah Donald Trump berjaya mengalahkan Kamala Harris dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat minggu lalu.
Lebih 43,000 warga Palestin sudah terkorban sejak Oktober 2023, sementara di Lubnan lebih 2,700 terkorban sejak rejim Zionis melebarkan kempen serangan ke atas negara berkenaan.
Anwar dijadual terbang semula ke Mesir setelah selesai sidang kemuncak ini untuk menyambung semula tugasan beliau di sana.