Malaysia antara negara yang berhadapan dengan masalah hutang isi rumah yang meningkat berikutan sikap berbelanja rakyat negara ini yang tidak terkawal, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

"Hutang isi rumah negara kita adalah tinggi berbanding negara jiran yang berhampiran. Ini kerana ramai pengguna yang berhutang dengan membuat pelbagai pinjaman antaranya pinjaman kad kredit, hutang peribadi dan sebagainya.

"Sebagai contoh hutang peribadi yang tidak terkawal boleh menyebabkan seseorang menjadi boros dalam berbelanja serta berbelanja melebihi batasan kemampuan pendapatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Tamu Yok Sahur Ramadan dan penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim kali ke-6 di perkarangan Jalan Masjid India, di sini, awal hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai pengguna yang berbelanja berlebihan di bulan Ramadan sehingga menyebabkan pembaziran dan masalah hutang.

Ahmad berkata berbelanja itu baik untuk ekonomi peniaga dan negara, tetapi perbelanjaan yang berlebihan tidak elok untuk semua pihak terutama kepada pengguna itu sendiri.

Katanya cara untuk mengelakkannya adalah berbelanja mengikut kemampuan pendapatan dan berjimat-cermat.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan duit raya dan makanan kepada 80 orang anak yatim sekitar Lembah Klang.

Majlis anjuran Astro dan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu murai.com.my diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia).

Turut hadir di majlis itu ialah Presiden Srikandi Malaysia Norashikin Abdul Ghani disertai beberapa artis antaranya pelakon Sazzy Falak dan penyanyi Awi Rafael.