Ringkasan AI
- Malaysia, yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, menekankan komitmen kepada nilai-nilai kebangsaan dan dasar luar negeri sambil berusaha untuk menyelaraskan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, menunjukkan pengaruh besar Malaysia dalam ASEAN.
- Menteri Luar Mohamad Hasan menyatakan penekanan kepada pemusatan dan kepaduan sebagai kunci utama bagi kemajuan ASEAN, dengan harapan pengaruh serantau ini mampu mengurangkan kesan buruk persaingan kuasa besar di Asia Pasifik.
- Mohamad menyoroti pentingnya menangani konflik di Myanmar dan Palestin, menekankan perlunya tindakan bersama ASEAN untuk menyelesaikan masalah tersebut, sambil menegaskan komitmen Malaysia terhadap penyelesaian dua negara untuk Palestin.
Beliau berkata ASEAN dan Asia Tenggara telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam pelbagai bidang.
"Komuniti kita sekarang sudah matang dan matlamat jangka panjang akan berada di tempatnya tidak lama lagi.
"Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang Malaysia diberi kepercayaan untuk menyelaraskan sebagai Pengerusi seterusnya, akan menjadi tanda kepada ketika yang besar pengaruhnya kepada ASEAN.
"Benar beberapa cabaran kekal tetapi ASEAN tidak pernah hidup tanpa cabaran. Asasnya tercetusnya daripada keinginan untuk mengatasi persengketaan dan cabaran pada masa itu. ASEAN terus mengatasi cabaran ini bersama. Kita telah membesar, bersama," katanya dalam Majlis Makan Malam Sempena Meraikan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-37 di sini malam tadi.
Mohamad menekankan kunci utama yang membolehkan kemajuan ini ialah penekanan kepada pemusatan dan mungkin apa yang lebih penting ialah kepaduan.
"Bersama dengan rakan kongsi luar, saya percaya pemusatan dan kepaduan ASEAN mampu memberikan pengaruh yang positif dalam mengurangkan kesan buruk persaingan kuasa besar di Asia Pasifik.
Sementara itu, Mohamad menekankan konflik terutamanya di Myanmar dan Palestin tidak pernah sebegitu penting untuk keselamatan dan kestabilan.
"Perang saudara di Myanmar kekal, satu daripada isu yang kritikal dan menekan untuk diuruskan ASEAN. Biar saya berkata sejujurnya, kita boleh dan seharusnya melakukannya dengan lebih baik.
ASEAN dan negara anggotanya perlu memperbetulkan keadaan dan menyelesaikan masalah kita dan berusaha untuk mencapai kata sepakat yang boleh dilaksanakan. Kita mesti memperkasakan keberkesanan pengagihan bantuan kemanusiaan dan melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk mempersiapkan perdamaian politik.
Kita tidak boleh mengabaikan perkembangan di Myanmar kerana kedinamikan dalamannya mempunyai kesan serantau. Malaysia terutamanya menghadapi kesan daripada mereka yang terpaksa berpindah, yang dipaksa melarikan diri atau dinafikan peluang untuk pulang. Mengulangi hujah malar diungkapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu tidak campur tangan bukannya alasan untuk sikap tidak ambil peduli," katanya.
Mengenai Palestin, Mohamad berkata Malaysia secara konsisten mengatakan punca krisis itu perlu ditangani.
Beliau berkata peristiwa yang menyebabkan kemusnahan berterusan di Gaza tidak berlaku secara tiba-tiba pada 7 Okt tahun lepas, dan tidak juga berlaku dalam satu ruangan vakum.
"Rakyat Palestin telah berhadapan penaklukan hampir 80 tahun. Dalam beberapa bulan lepas kita mendapati kerajaan di Tel Aviv jika dibiarkan, tidak ragu-ragu untuk melakukan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Rakan-rakan dan sekutu-sekutu Israel perlu mempengaruhi kerajaan itu supaya menghentikan serangan ke atas Gaza.
Malaysia teguh dengan pendirian kami bahawa rakyat Palestin berhak untuk mempunyai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara. Ini mungkin nampak hanya sebagai satu kemungkinan kecil ditengah-tengah keadaan semasa tetapi ia kekal sebagai satu penyelesaian berdaya maju kepada ketidakadilan yang berdekad, " katanya.
-- BERNAMA