BANGKOK: Malaysia akan menjadi sempadan seterusnya untuk francais Thailand, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman, kata Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand, Ratchada Thanadirek.

Beliau berkata Malaysia juga berminat untuk mengembangkan perniagaan francaisnya dengan Thailand.

"Malaysia merupakan pasaran yang berpotensi untuk francais Thailand, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman.

"Francaisor digalakkan menyertai pameran perdagangan antarabangsa untuk berhubung dengan perniagaan-perniagaan lain, meneroka pasaran baharu dan mengikuti perkembangan terkini mengenai trend francais terkini," katanya dalam satu kenyataan.

Ratchada berkata enam perniagaan francais Thailand kini beroperasi di Malaysia -- Cafe Amazon, Black Canyon, Doi Chaang Coffee, Tummour, Bar B Q Plaza, dan Smart Brain.

Beliau menambah perniagaan francais yang berpangkalan di Malaysia dan kini berada di Thailand termasuk Secret Recipe, Laundry Bar, dan Unisense.

Sementara itu, Ratchada berkata Malaysia telah menjadi rakan dagang utama Asean Thailand.

Beliau berkata perdagangan sempadan Thailand dan Malaysia menyumbang 35 peratus daripada jumlah nilai perdagangan di antara kedua-dua negara, dengan jumlah nilai perdagangan sempadan bernilai 336.12 bilion baht (100 baht = RM13.20) pada 2022.

Beliau berkata produk eksport utama Thailand ke Malaysia ialah automotif, alat ganti automotif, petroleum ditapis, komputer dan alat ganti komputer.

"Perniagaan Thailand yang baru-baru ini berkembang pesat di Malaysia ialah produk agro dan makanan diproses (terutamanya produk halal), restoran dan kedai Thai, perniagaan berkaitan pelancongan dan pembinaan," katanya.

Ratchada berkata Perdana Menteri sementara Prayuth Chan o-cha gembira dengan pertumbuhan perdagangan di antara Thailand dan Malaysia yang berterusan.

"Prayuth yakin nilai perdagangan bersama di antara kedua-dua negara akan mencecah US$30 bilion (US$1=RM4.56) menjelang 2025 seperti yang disasarkan," katanya.

Beliau menambah mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Menteri telah dirancang pada akhir tahun ini.

Ratchada berkata Jabatan Rundingan Perdagangan Thailand baru-baru ini telah bertemu dengan delegasi yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Mohd Yusof untuk membincangkan promosi perniagaan francais, mempromosikan perdagangan domestik yang adil dan memulihkan perdagangan sempadan.

Ratchada berkata kerajaan Thailand juga berusaha untuk menganjurkan kempen pemasaran, mencari rakan perdagangan baharu, dan sentiasa menyokong pelaburan Thai di Malaysia melalui kempen seperti "I Love Thailand Fair" untuk mempromosikan makanan halal Thai.

Selain itu, beliau berkata Thailand akan menubuhkan pavilion di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia.

"Pavilion itu akan mempamerkan pelbagai produk makanan Thai dan restoran yang diperakui dengan tanda 'Thai Select'.

"Thailand juga akan berusaha mewujudkan rangkaian di antara Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan Dan Kenderaan (EMPTA) Selangor Dan Wilayah Persekutuan dan Persekutuan Industri Automotif Thailand," katanya.

Ratchada juga menekankan sokongan perdana menteri Thailand terhadap mempromosikan kerjasama Thailand-Malaysia dalam semua dimensi dan di semua peringkat untuk kedua-dua negara berkembang bersama secara mampan.

-- BERNAMA