Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baru bagi takwim hijrah. Sempena dengan kedatangan Tahun Baru Islam 1445H bersamaan 1 Muharram 1445H, marilah sama-sama kita mengakhiri penghujung tahun dan memulakan awal tahun baru Islam dengan membaca doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah.
Doa akhir tahun Hijrah (1444H) mestilah dibaca sebelum masuk waktu Maghrib (akhir waktu Asar atau selepas solat Asar) pada 29 Zulhijjah 1444H bersamaan 18 Julai 2023 (Selasa). Bagi yang ingin mengetahui maksud doa ini di dalam bahasa Melayu, disertakan maksudnya untuk pengetahuan kita semua.
Ini maksud doa akhir tahun:
Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta para keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah, segala yang telah kami kerjakan selama ini dari apa yang menjadi laranganMu, sedang kami belum bertaubat, padahal Engkau tidak melupakan dan Engkau bersabar (dengan kasih SayangMu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untuk kami, dan Engkau telah mengajak kami untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat.
Kerana itu ya Allah, kami mohon ampunanMu dan berilah ampun kepada kami dengan kemurahanMu.
Segala apa yang telah kami kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau redhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, kami memohon kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah, Wahai Zat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan, semoga berkenan menerima amal kami dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami kepadaMu, wahai Zat Yang Maha Pemurah.
Ya Allah, berikan kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di Akhirat, serta jauhkan kami dari azab api neraka.
Dan semoga Allah memberikan rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami Muhammad, Keluarga dan sahabatnya.
Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Maksud doa awal tahun:
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah, Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerahMu yang Agung dan dermawanMu tempat bergantung.
Dan tahun baru ini benar-benar telah datang. Kami memohon kepadaMu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan bala tenteranya.
Dan kami memohon pertolongan untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak kepada kejahatan, agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepadaMu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.
Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani kepada hamba-hambaNya. Ya Allah, berikanlah kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat, serta jauhkan kami dari azab neraka.
Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, beserta para keluarga dan sahabatnya. - Mingguan Wanita