KUALA LUMPUR: Agenda pembangunan dan usaha melestarikan Parlimen Lembah Pantai menjadi antara tumpuan utama dalam Majlis Tindakan Pembangunan Lembah Pantai Bil 1/2024 yang diadakan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata majlis yang pertama kali diadakan di peringkat Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu adalah untuk membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi sebarang isu berbangkit di parlimen Lembah Pantai.

Beliau berkata majlis yang mengumpulkan pelbagai pihak antara lain, pemaju, pemimpin dan penduduk setempat, serta pakar itu menjadi platform terbaik bagi membincangkan isu-isu pembangunan yang dihadapi oleh komuniti setempat.

"Platform ini adalah untuk kita cari titik temu, ia bukan sebagai penyelesaian untuk satu pihak dapat anything they requested for, tetapi untuk keputusan-keputusan yang akan dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (terhadap Parlimen Lembah Pantai) akan mengambil pandangan yang disampaikan (oleh mesyuarat ini).

"Minit-minit mesyuarat majlis ini juga kita akan panjangkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa supaya mereka ambil kira pandangan yang disampaikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Tindakan Pembangunan Lembah Pantai Bil 1/2024 di IWK Ecopark@Lembah Pantai di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata dengan adanya hubungan kerja yang baik antara Parlimen Lembah Pantai dengan Dr Maimunah dan DBKL, pihaknya berhasrat untuk memastikan pembangunan di parlimen itu menjadi lebih mampan dan lestari dalam aspek alam sekitar.

"Saya berharap setiap tahun kita dapat mengadakan beberapa kali mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Lembah Pantai ini, untuk kita teliti perkara-perkara panas dan sukar untuk diselesaikan terutamanya dalam soal pembangunan," katanya.

Selain itu beliau menasihati warga Lembah Pantai untuk sentiasa menjaga alam sekitar dan membayar cukai-cukai berkaitan bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan kepada mereka dapat dilaksanakan dengan baik.

Mesyuarat yang pertama kali diadakan di Parlimen Lembah Pantai itu membincangkan antara lain isu komuniti setempat, usaha penanaman pokok di sekitar Lembah Pantai, dan projek pembangunan.

-- BERNAMA