Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) yang juga Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan PINTA Mohd Zahid Mahmood berkata majlis tersebut menyasarkan seramai 24,000 huffaz dari seluruh negara berbanding 23,000 orang tahun lepas.
Beliau berkata majlis yang akan bermula pada 11 pagi hingga 10 malam itu bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita nak memperjuangkan, memperkasakan dan memartabatkan seluruh institusi tahfiz ke persada negara dan antarabangsa," katanya ketika ditemu bual pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung PINTA Kebangsaan Mohd Edrus Ab Rahman berkata Program Tabika Pra-Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dimulakan tahun ini diyakini dapat membantu kerajaan mencapai hasrat melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050.
"Melalui program ini anak-anak yang berumur 4 tahun dan ke atas sudah dapat menghafaz Juzuk Amma dan program ini melibatkan lebih kurang 6,000 pelajar setakat ini, justeru untuk 26 tahun akan datang angka ini sudah pasti akan meningkat dan menjadi mudah untuk mencapai sasaran tersebut," katanya
Majlis himpunan tersebut merupakan kesinambungan Himpunan Huffaz 23K yang diadakan pada tahun lepas.
-- BERNAMA