Katanya, ramai dalam kalangan ustaz dan guru tahfiz yang dilaporkan kurang faham konsep TVET, menyebabkan timbul penolakan terhadap pendekatan ini.
"Kami menghadapi cabaran bukan sahaja pada peringkat awal, bukan hanya di kalangan ibu bapa, tetapi juga di kalangan ustaz-ustaz di sekolah itu sendiri, iaitu tenaga pengajar.
"Mereka tidak diberi pendedahan dan penerangan yang berterusan, menyebabkan mereka tidak memahami konsep TVET," katanya dalam temu bual bersama Awani Pagi hari ini.
Tambah beliau, pendidik tahfiz yang menolak TVET sering melihatnya sebagai gangguan kepada pendidikan agama, sedangkan TVET sebenarnya boleh meningkatkan peluang kerjaya pelajar tanpa mengganggu identiti mereka sebagai hafiz, iaitu seorang penghafaz Al-Quran.
Menurutnya, TVET boleh menjadi alat untuk melahirkan seorang hafiz yang lebih berdaya saing dalam bidang seperti perniagaan, keusahawanan dan kemahiran teknikal.
Sebagai contoh, Mohd Zahid menyatakan, seorang pelajar tahfiz yang mempelajari kemahiran masakan melalui TVET boleh membuka restoran sendiri dengan nilai tambah dari segi pengurusan halal dan kualiti tayyibah.
"TVET sebenarnya tidak merugikan mana-mana pihak, malah ia memberi nilai tambah kepada seseorang hafiz," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pasca Himpunan Huffaz 2024 berhubung strategi dan perancangan melahirkan generasi huffaz Al-Quran yang dilengkapi kemahiran TVET.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 15 Sept lalu berkata kerajaan akan terus memperkasakan generasi huffaz bagi memastikan golongan itu bukan sahaja berjaya dalam hafazan tetapi juga mampu bersaing dan menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat global.