Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditukarkan kepada satu nama yang baru.

Beliau berkata, cadangan itu adalah bagi mengukuhkan fungsi DBP dan terus kekal relevan seiring dengan kecanggihan teknologi pada abad ke-21 ini.

"Bagi DBP untuk terus bertahan dengan kecanggihan teknologi dalam dunia digital ini, DBP harus melakukan satu langkah proaktif. Suasana tidak lagi seperti dahulu. Kita perlu melakuan strategi komunikasi, pemasaran yang baru untuk DBP.

"Saya mengesyorkan DBP untuk tukar nama sebab sekarang ini ada generasi muda. Bila disebut DBP itu, mereka (generasi muda) menyifatkan ini suatu perkara yang lama...(mereka kata) DBP, dulu punya ini.

"Jadi bagaimana kita mahu beritahu mereka, DBP bukan sahaja dahulu ada, sekarang pun ada. Bagaimana kita mahu melakukan penjenamaan semula seiring dengan kehendak kontemporari?" tambah Mahdzir pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik DBP 2016-2020 dan Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-60 di Menara DBP, di sini, hari ini.

DBP yang sebelum ini dikenali sebagai Balai Pustaka, ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru, Johor sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran.

Pada September 1956, kerajaan telah menerima cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang mahu menamakan Balai Pusaka dengan nama DBP.

Bagaimanapun, Mahdzir berkata pertukaran tidak semestinya perlu dilakukan namun input baru perlu diberikan dalam agenda baru DBP.