Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid akan mempertahankan jawatannya sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Padang Terap berkata hasratnya itu ialah kerana ingin memberikan sumbangan kepada rakyat dan negara.

"Saya harap bahawa di samping (kedudukan) dalam kerajaan, saya juga boleh turut serta dalam parti untuk membantu memberikan apa juga pandangan, idea dan juga keputusan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat di negara ini.

"Jadi, saya ada dua platform, satu atas kerajaan dan satu lagi atas parti sebab ia ada asimilasi di situ, antara kerajaan dan parti. Sama ada saya dalam kerajaan atau parti, tetapi yang penting ialah dapat memberi sumbangan kepada bagaimana hendak meneruskan pembangunan rakyat, sama ada di bandar, mahu pun di luar bandar," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian penutupan Bengkel Jurulatih Utama Kebangsaan Modul Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga 2013 serta pelancaran Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau di sini.

Mahdzir yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Terap dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno sejak 2005.