Tahap kesedaran masyarakat Orang Asli terhadap kepentingan pendidikan bagi menjamin masa depan mereka semakin memberangsangkan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata prasarana lengkap yang dibina oleh kerajaan di seluruh negara yang dilengkapi asrama juga antara faktor yang menarik minat kanak-kanak Orang Asli untuk ke sekolah.

"Kini terdapat 98 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah bagi anak Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia dengan 37,934 pelajar.

"Selain itu terdapat lima buah sekolah kategori K9 iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah (dari tingkat satu hingga tiga) dalam satu kawasan iaitu masing-masing dua di Perak dan Pahang serta satu di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini.

Bangunan bernilai RM200,000 yang menempatkan empat buah kelas itu disumbangkan oleh syarikat kontraktor, T7 Global Berhad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dr Ghazali Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad , Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin, Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Matsor Ismail, dan Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global Bhd, Sri Tan Kean Soon.

Dengan mengambil kira situasi positif itu, Mahadzir berkata pihak kementerian juga telah melahirkan ramai guru dari kalangan masyarat Orang Asli di mana tahun ini sahaja seramai 37 orang guru lagi akan ditempatkan di sekolah-sekolah perkampungan orang Asli seluruh semenanjung.

Selain itu, katanya pihak kementerian juga sentiasa bekerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli bagi memastikan kemudahan pendidikan yang lengkap bagi anak-anak Orang Asli.

"Kita juga sangat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta dalam meningkatkan pembangunan pendidikan anak-anak Orang Asli ini tidak kira dalam apa jua bentuk sekalipun," katanya.

Sementara itu, Tan berkata bangunan tambahan yang bernilai RM200,000 berkenaan disumbangkan oleh T7 Global Berhad bagi memberikan keselesaan dan kemudahan pembelajaran kepada pelajar Orang Asli selain berharap ianya menjadi motivasi kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran.

-- BERNAMA