KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada dua sektor penting iaitu sektor padi dan beras serta sektor ruminan pedaging.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya menerima segala kritikan yang dilemparkan kepada kementeriannya terhadap isu yang terkait dengan dua sektor berkenaan.

Bagaimanapun, menuju ke hadapan, pihaknya telah mengenal pasti dua negeri lagi yang boleh membantu dalam mengembangkan lagi sektor padi dan beras negara.

Ini kerana, Sabah dan Sarawak berpotensi untuk dijadikan jelapang padi kedua negara.

“Isu keterjaminan dan kecukupan beras ini mesti ditumpukan, saya tidak mahu menyalahkan pemerintah sebelum ini, tapi kita perlu move forward.

“Di antara tempat yang kita nampak untuk kita jadikan jelapang padi kedua adalah Sabah dan Sarawak.

"Begitu juga dengan sektor ruminan iaitu lembu, kambing dan sebagainya yang mana kita di bawah 20 peratus kecukupannya dan kita masih perlu mengimport sebanyak 80 peratus,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg bersedia untuk memberi komitmen dalam memastikan dalam masa 10 tahun kecukupan beras di Sarawak dapat diatasi dan boleh dieksport.

Katanya, pihaknya akan memberi tumpuan sepenuhnya dan berharap dapat mengubah dua sektor ini sehingga mencapai 100 peratus dalam menjadikan bekalan dalam negara mencukupi.

Mohamad berkata demikian dalam temu bual bersama AWANI Pagi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 hari ini.

MAHA berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang bermula 11 Sept hingga 22 Sept. 

MAHA 2024 memainkan peranan penting dalam usaha memperkukuh kerjasama antara pihak kerajaan, sektor swasta, akademik dan badan bukan kerajaan dengan matlamat untuk membantu penglibatan sektor ini secara lebih optimum.

MAHA 2024 juga menampilkan lebih 48 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.

Meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA edisi 2024 juga memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan dan penyertaan daripada pelbagai negara menerusi segmen MAHA Go Global.

MAHA 2024 yang menerima peruntukan sebanyak RM25 juta, iaitu bajet terbesar dalam sejarah penganjurannya, juga mencerminkan komitmen teguh kerajaan dalam pembangunan agromakanan negara.