SERDANG: Kerajaan bakal memperkenalkan beberapa projek besar, termasuk projek raksasa tanaman padi fasa pertama, dengan nilai keseluruhan projek berjumlah RM5 bilion, kata perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Kerajaan akan melancarkan projek besar tanaman padi fasa pertama dengan nilai RM5 bilion untuk meningkatkan hasil tanaman padi dan taraf hidup pesawah.
  • Kerajaan dan agensi berkaitan perlu menggerakkan masyarakat, termasuk petani, pesawah, dan nelayan, untuk menerima perubahan dalam industri pertanian bagi meningkatkan hasil.
  • Acara MAHA ke-100 menekankan kepentingan keterjaminan makanan dan menggalakkan golongan muda memahami dan terlibat dalam bidang ini.


Beliau berkata, projek tersebut bakal memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hasil tanaman padi pesawah yang terlibat, serta menaikkan taraf hidup mereka.

Katanya lagi, cabaran juga terletak di bahu kerajaan serta agensi berkaitan dalam menggerakkan masyarakat -- khususnya golongan petani, pesawah dan nelayan -- untuk menerima perubahan yang sedang dirancang bagi melonjakkan hasil dengan lebih baik.

“Bagaimana untuk kita mahu gerakkan masyarakat, termasuk golongan petani, pesawah, nelayan untuk juga terima perubahan (transformasi industri pertanian) ini, dan melonjakkan hasil dengan baik.

“Ada projek besar yang kita akan perkenalkan, termasuk projek raksasa tanam padi fasa pertama yang akan dimulakan dalam masa singkat.

"Keseluruhan projek menelan RM5 bilion untuk kita tumpukan perhatian pada pesawah dan hasil mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya pada majlis perasmian Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malasysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Sabtu.

Pada Mei lepas, perdana menteri berkata kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi projek menaik taraf sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), khusus bagi projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

Turut dalam perancangan ialah penambahan keluasan bagi pelaksanaan program tanaman padi tersebut, melibatkan kawasan seluas 30,000 hektar, secara berperingkat di kawasan MADA.

Menyentuh mengenai penganjuran MARA yang memasuki tahun ke-100 tahun ini, perdana menteri berkata, acara ini memberi satu makna baik kepada kerajaan mahu pun rakyat, tentang kepentingan bidang keterjaminan makanan.

“Jadi (penganjuran) MAHA ini sebagai satu makna untuk kita mempamer, mempelajarai, dan menggalakkan serta menggerakkan (kefahaman) dalam kalangan golongan muda, supaya tahu bidang keterjaminan makanan ini satu bidang yang dianggap kritikal dan harus diberikan tumpuan sepenuhnya.

“Semoga acara MAHA ini menjadi satu ruang sekali lagi untuk menanam semangat dan juga memberikan kesempatan bagi rakyat untuk melihat, dan bagi jentera kerajaan untuk merasakan bagaimana rakyat yang ramai itu meletakkan harapan, dan agar menunjukkan rasa kagum bila ada hasil yang lebih baik,” katanya lagi.