Ringkasan AI
- Pemergian Tan Sri Ahmad Nawab: Komposer veteran Tan Sri Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun di kediamannya di Taman Melewar, Gombak.
- Sumbangan dalam Industri Muzik: Ahmad Nawab mencipta lebih 2,000 lagu dan menghasilkan lebih 200 album sepanjang kariernya, serta melahirkan ramai nama besar dalam industri seni suara.
- Pengiktirafan dan Anugerah: Beliau dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh pada 2006 dan pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Merak Kayangan.
Allahyarham atau nama asal, Ahmad Khan Nawab Khan dilaporkan meninggal dunia di kediaman beliau di Taman Melewar, Gombak sekitar pukul 3.15 petang.
Berita duka pemergian Ahmad Nawab dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez ketika dihubung Astro AWANI.
Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Ahmad Nawab dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006.
Allahyarham mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an merupakan individu bertanggungjawab melahirkan ramai nama besar dunia seni suara.
Antaranya adalah Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram.
Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Ahmad Nawab juga menggubah lagu Malaysia Truly Asia dendangan Khadijah, dianggap ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.
Ahmad Nawab pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun dan memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah memaklumkan jenazah kini berada di rumahnya di Taman Melewar.
"Jenazah akan dibawa ke surau berhampiran rumah beliau esok pagi bagi urusan mandi dan kafan sebelum dijangka dikebumikan sekitar jam 10 pagi esok (25 November 2024) di Tanah Perkuburan Raudathul Sakinah jam 10 pagi," katanya.
Tambah beliau, Seniman amat berdukacita atas pemergian arwah ke negeri abadi dan menyifatkan beliau sebagai tokoh legenda industri muzik yang sangat berpengalaman luas dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa.
"Kehilangan ini pasti akan dirasai oleh seluruh pemain industri muzik dan filem negara.
"Kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah dan kami mendoakan agar arwah ditempatkan di syurga," ujarnya.