GUA MUSANG: Dialah ibu, dialah bapa.

Seorang pemuda terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga, menyara lima adik dan empat anak saudaranya selepas ibu bapa dan kakaknya meninggal dunia.

Aidilfitri tahun ini begitu memilukan bagi Muhammad Saupi Mat Adam, 29 tahun, apabila ibunya baru sahaja meninggal dunia 10 hari lalu akibat penyakit kronik.

Muhammad Saupi berkata, dia terpaksa melupakan kemeriahan sambutan 1 Syawal memandangkan dengan bekerja mengambil upah sebagai penjual daging, dia tidak mampu menyediakan baju raya untuk adik-adiknya.

Bagaimanapun, dalam keadaan kesusahan itu, mereka bersyukur apabila pemimpin setempat termasuk wakil rakyat dan badan bukan kerajaan tampil membantu dalam memberi sumbangan kewangan.

"Saya jaga adik-adik sejak daripada arwah ayah tak ada. Ayah meninggal, saya ambil tanggungjawab sebagai abang, jaga adik-adik dan anak-anak saudara.

"Anak-anak saudara itu pula, sejak ibu mereka meninggal, saya ambil alih semua tugas penjagaan," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tanah Putih, di sini.

"Tak ada baju (raya). Guna baju lama saja. Ada orang bagi bantuan, rasa gembira sikit. Sebab, duit tak cukup lagi," tambahnya ketika ditanya mengenai persiapan Hari Raya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cakna Kasih Gua Musang, Siti Nor Azila Zulkifle yang bersimpati dengan nasib sembilan anak yatim piatu itu telah mencari dana untuk membeli kelengkapan rumah dan perabot.

"Setakat ini, persiapan pakaian memang tak ada lagi. Cuma sekadar kita beli almari untuk buat bilik tidur, benteng di tengah, supaya ada jarak di tengah.

"Dan, kita nak ahli Cakna Kasih gotong-royong supaya sambutan raya tahun ini berbeza dengan sebelum ini. Biar ada kegembiraan di hati mereka," kata Siti Nor Azila.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Agrobank milik Muhammad Saupi 2006731000134380 atau hubunginya di talian 0179200617.