KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus mencari model terbaik dalam membina loji “Waste to Energy” di Malaysia.


Ringkasan AI
  • Model WTE: Kerajaan sedang mencari model terbaik untuk membina loji WTE di negara ini. WTE merupakan teknologi yang mengubah bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula menjadi tenaga, seperti haba, elektrik, atau bahan bakar.
  • Kos Tinggi: Walaupun kos pembinaan loji WTE tinggi, kerajaan akan memastikan projek ini memberi pulangan yang baik kepada negara. Kelestarian alam dan perkara berkaitan kewangan menjadi pertimbangan utama.
  • Kelestarian Alam: Meskipun kos tinggi, kerajaan tetap memilih teknologi WTE yang terbukti berkesan dan memastikan tiada pencemaran bau busuk atau gas metana dari tapak pelupusan sampah.


Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kos untuk membina loji tersebut amat tinggi, maka kerajaan akan memastikan sekiranya projek itu berjalan, ia akan memberi pulangan yang baik kepada negara.

Menurutnya, kerajaan juga akan terus memberikan kesedaran kepada orang awam berhubung isu tersebut supaya rakyat dapat menyokong usaha tersebut.

"Berkaitan dengan model WTE, ya, memang kosnya lebih tinggi tetapi daripada perbandingan kita dengan kelestarian alam.

"Untuk makluman, satu tapak pelupusan sampah menerima pakai puluhan ribu ekar tanah.

"Kawasan sekitarnya, lima hingga 10 kilometer tidak dapat dibangunkan kerana ada tapak pelupusan sampah berskala besar.

"Itu adalah satu imbangan, antara kelestarian alam dan kemampanan model kewangan.

"Dengan permodenan teknologi WTE yang amat canggih sekarang, kita akan ambil teknologi yang ada track record dan terbukti berkesan sebelum diterima pakai di bumi, tanah air kita yang tercinta ini," katanya.

Jelasnya, meskipun kos tinggi namun ia tetap dalam pertimbangan kerajaan untuk menjaga kelestarian alam sekitar dan memastikan tiada pencemaran bau busuk, penyebaran gas metana daripada tapak pelupusan sampah.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH - Bayan Baru) yang meminta perincian senarai 18 lokasi yang akan membina loji 'Waste to Energy' di seluruh negara.