KUALA LUMPUR: Hari Kebangsaan adalah sambutan negara yang seharusnya menyatukan seluruh rakyat Malaysia dan tidak sepatutnya ada perbezaan di peringkat negeri kerana logo dan tema sambutan lazimnya seiring aspirasi negara, demikian pandangan beberapa ahli akademik dan penganalisis politik.

Mereka berpandangan tindakan Pemuda Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan logo dan tema Hari Kebangsaan alternatif bagi negeri-negeri diperintah parti itu daripada yang diumumkan peringkat Persekutuan atas alasan kononnya penggunaan logo dan tema 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' berbaur politik kepartian dan kerajaan mempolitikkan sambutan itu adalah tidak berasas.

Menurut mereka, konsep Malaysia MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diterima umum sebagai tema kerajaan semasa dan atas prinsip itu ia seharusnya tidak dilihat sebagai tema sebuah parti politik.

Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-Undang), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Perpaduan yang merupakan kerajaan semasa berhak membawa apa jua tema yang seiring dengan aspirasi pimpinan negara dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.

"Asas bantahan ialah penggunaan tema Malaysia MADANI dalam tema hari kebangsaan yang dianggap sebagai mempopularkan tema politik kerajaan semasa sedangkan MADANI itu sendiri sudah menjadi tema kerajaan semasa.

"Kerajaan semasa ialah kerajaan yang sah di bawah Perlembagaan dan apa jua tema yang dibawa, ia bukan lagi tema sebuah parti politik sebaliknya ia adalah tema yang dibawa oleh kerajaan yang sah. Maka tema yang digunakan ialah hak kerajaan semasa dan tidak perlu dipertikaikan," katanya kepada Bernama.

Pada Sabtu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri atas dakwaan kerajaan Persekutuan telah mempolitikkan sambutan itu antaranya penggunaan istilah Malaysia MADANI yang sering diulang-ulang semasa kempen politik.

Nik Ahmad Kamal berkata, jika ahli politik membuang seketika sikap skeptikal terhadap kerajaan, beliau percaya cadangan sedemikian tidak akan timbul kerana amalan kerajaan semasa memilih atau menentukan tema untuk apa-apa sambutan di peringkat nasional termasuk Hari Kebangsaan adalah perkara biasa yang diamalkan saban tahun sejak sekian lama.

Beliau berkata, cubaan mewujudkan naratif politik kenegerian dengan membelakangkan semangat Persekutuan adalah langkah kebelakang ketika sambutan kemerdekaan negara seharusnya disulami dengan sikap kenegaraan dan bebas daripada sebarang sentimen politik yang merugikan rakyat dan negara.

"Setelah dua tahun kita melalui proses perang politik sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum lalu serta Pilihan Raya Negeri baru-baru ini, saya menyeru semua pihak berdamai dengan mengutamakan semangat bernegara dan tidak melihat setiap keputusan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam soal tema hari Kebangsaan yang disaluti tema kerajaan semasa sebagai bermotif politik," katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali menyifatkan cadangan penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza daripada yang diumumkan Kerajaan Persekutan sebagai sesuatu yang membimbangkan.

Mazlan berkata, situasi itu dilihat boleh meruntuhkan semangat kenegaraan kerana wujud nilai tidak bersamaan antara kerajaan negeri dan di peringkat Persekutuan, selain menimbulkan sentimen kenegerian dalam kalangan rakyat.

"Ini akan dilihat berlaku ketidakselarasan dalam hubungan federalism dan negeri yang terlibat nampak seperti tidak mahu menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan walaupun dalam soal patriotik dan ini memberi contoh tidak baik kepada rakyat.

"Saya bimbang isu ini boleh menyebabkan mudarat kepada Kerajaan Persekutuan seperti wujud antikerajaan Persekutuan pula nanti dan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh memecahbelahkan rakyat," katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr Dominic Lau menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza kerana pada pandangan peribadinya, tidak semua isu sepatutnya dipolitikkan terutama melibatkan Hari Kebangsaan.

Pada Isnin, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata negeri itu akan menggunakan logo dan tema yang sama dengan Kerajaan Persekutuan bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, seperti yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini.

-- BERNAMA