Ringkasan AI
- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mencapai sasaran perolehan kapal baharu di bawah RMK11 dan RMK12, dengan hanya menerima empat daripada 18 kapal yang dirancang sehingga 31 Disember 2022. Kekangan peruntukan juga menyebabkan perolehan dua kapal MRSS ditangguhkan ke RMK13.
- TLDM juga gagal menyelenggara kapal sedia ada mengikut jadual, menyebabkan kapal melebihi usia digunakan secara high-tempo. Dari peruntukan RM1,091.63 juta untuk penyenggaraan kapal (2020-2022), hanya RM912.74 juta dibelanjakan, dengan kekurangan belanja disebabkan kemajuan kerja penyenggaraan oleh kontraktor yang tidak mengikut jadual.
- Alat ganti bernilai RM384.49 juta di Depot Bekalan Armada Barat dan Timur tidak digunakan, dengan rekod pengeluaran terakhir antara 1969 hingga 2021. LKAN menyarankan TLDM memastikan penyelenggaraan kapal mengikut jadual dan memanfaatkan stok alat ganti yang tidak digunakan untuk mengelak pembaziran.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 TLDM sepatutnya membuat perolehan 10 Littoral Mission Ship (LMS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12, namun hanya empat kapal LMS telah selesai dibuat perolehan dan diterima setakat 31 Dis 2022.
"Prestasi perolehan dan penerimaan kapal TLDM di bawah RMK11 dan RMK12 sehingga 31 Dis 2022 adalah rendah berbanding sasaran ditetapkan. TLDM menyasarkan perolehan 18 kapal namun hanya empat diterima.
"Selain itu TLDM sepatutnya menerima dua kapal Multi Role Support Ship (MRSS) di bawah RMK12, tetapi perolehan hanya akan dilaksanakan di bawah RMKe-13 kerana kekangan peruntukan. Keadaan ini menyebabkan TLDM masih menggunakan kapal melebihi usia guna," menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat, hari ini.
LKAN mengesyorkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan TLDM memastikan Program Transformasi TLDM #15to5 di bawah RMK12 dan seterusnya dilaksanakan mengikut perancangan supaya sasaran pegangan kapal menjelang tahun 2050 dapat dicapai dan kesiapsiagaan TLDM sentiasa di tahap tertinggi.
Sementara itu semakan audit terhadap laporan perbelanjaan penyenggaraan bagi semua kapal mendapati Bahagian Kejuruteraan Markas Tentera Laut telah menerima peruntukan berjumlah RM1,091.63 juta untuk penyenggaraan kapal bagi tempoh tahun 2020 hingga 2022 tetapi hanya RM912.74 juta dibelanjakan.
"Pada tahun 2020, sejumlah RM76.09 juta daripada peruntukan RM406.15 juta tidak dibelanjakan manakala pada tahun 2022, sejumlah RM102.80 juta tidak dibelanjakan daripada peruntukan disalurkan berjumlah RM345 juta.
"Peruntukan tidak dibelanjakan antaranya disebabkan kemajuan kerja penyenggaraan sebahagian kapal oleh kontraktor yang dilantik tidak mengikut jadual ditetapkan dalam kontrak," menurut laporan itu.
LKAN mensyorkan TLDM memastikan penyelenggaraan kapal dilaksanakan mengikut jadual dengan keperluan sumber kewangan yang mencukupi supaya kapal sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan yang ditetapkan.
Sementara itu semakan audit mendapati alat ganti bernilai RM384.49 juta di Depot Bekalan Armada Barat (DBAB) dan Depot Bekalan Armada Timur (DBAT) tidak digunakan.
"DBAB mempunyai 1.62 juta unit alat ganti bernilai RM381.69 juta yang tidak digunakan dan rekod pengeluaran terakhir adalah antara tahun 1969 hingga 2017 manakala DBAT pula mempunyai 6,040 jenis alat ganti bernilai RM2.8 juta tidak digunakan, dengan rekod pengeluaran terakhir adalah antara tahun 2017 hingga 2021," menurut laporan itu.
Laporan itu mengsyorkan TLDM menyediakan pelan tindakan terhadap stok alat ganti yang tidak digunakan supaya dapat dimanfaatkan sewajarnya bagi mengelak berlakunya pembaziran.
-- BERNAMA