KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) disyor memastikan semua projek pembangunan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) siap mengikut tempoh ditetapkan agar perkhidmatan kebombaan tidak terjejas.


Ringkasan AI
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) disarankan memastikan semua projek pembangunan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) siap mengikut jadual untuk mengelakkan perkhidmatan kebombaan terjejas, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024.
  • Dua projek BBP dan kuarters di Nabawan dan Pitas, Sabah, tidak disiapkan mengikut jadual, dengan tindakan pembetulan dan perancangan pemulihan sedang dijalankan, tetapi kelewatan ini telah menjejaskan masa respons BBP terdekat.
  • JBPM juga menghadapi kelewatan dalam menerima 21 unit kenderaan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) daripada projek pembekalan 150 unit yang diluluskan pada 2020, disebabkan ketidakpatuhan spesifikasi teknikal, tetapi penjadualan semula pembekalan telah diperakukan dan sedang dilaksanakan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini, terdapat dua projek pembinaan BBP dan kuarters tidak dapat disiapkan, iaitu di Nabawan dan Pitas di Sabah dan kedua-duanya telah dikeluarkan Sijil Perakuan Kerja Tidak Siap (CNC) pada 26 dan 25 Sept tahun lepas.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam maklum balas mereka memaklumkan bahawa surat peringatan kelewatan kerja telah dikeluarkan kepada kontraktor pada 22 Jan lepas bagi projek di Nabawan dan kontraktor turut diarah meningkatkan produktiviti kerja dan menyediakan perancangan pemulihan.

Bagi projek di Pitas pula, menurut laporan itu JBPM memaklumkan telah mengeluarkan Arahan Perubahan Kerja kepada kontraktor pada 18 Jan lepas dan projek ini telah diberikan kelulusan EOT No. 2 selama 252 hari dengan tarikh siap semasa pada 3 Jun 2024 .

Kelewatan menyiapkan baki kerja pembinaan BBP dan Kuarters Pitas itu telah menjejaskan masa respons BBP terdekat, dan berdasarkan analisis audit bagi tempoh 2020 hingga 2022 daripada 34 insiden kebakaran dan menyelamat di kawasan itu, 32 insiden menyaksikan pasukan penyelamat tiba tempat kejadian melebihi tempoh 10 minit ditetapkan.

LKAN turut memaklumkan setakat Disember lepas JBPM masih belum menerima 21 unit kenderaan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) seperti dijadualkan menerusi projek pembekalan 150 unit CFRT yang diluluskan pada tahun 2020.

Menurut laporan itu ia lewat diterima kerana Jawatankuasa Teknikal, Ujian Pemeriksaan dan Penerimaan yang melakukan ujian ke atas unit pertama kenderaan itu bersama pembekal pada 17 hingga 20 Julai tahun lepas mendapati jentera itu tidak mematuhi spesifikasi teknikal ditetapkan dalam perjanjian.

"Selaras perubahan spesifikasi, pembekal telah mengemukakan jadual pembekalan beserta jadual pembayaran baharu. Perubahan jadual pembekalan itu adalah di bawah bidang kuasa dan kelulusan JBPM. Perjanjian tambahan juga perlu disediakan bagi tujuan berkenaan.

"Semakan lanjut mendapati kelulusan Kementerian Kewangan bagi permohonan perubahan spesifikasi tanpa sebarang pertambahan kos telah diperoleh pada 21 Disember 2023. Bagaimanapun setakat 31 Disember 2023, perjanjian tambahan masih belum disediakan," menurut laporan itu.

JBPM dalam maklum balas mereka berkata mesyuarat Contract Coordination Committee JBPM pada 31 Jan lepas bersetuju memperakukan penjadualan semula pembekalan 150 unit CFRT berkenaan iaitu mulai Fasa 1 pada 31 Jan 2024 hingga Fasa 20 pada 31 Julai 2028, manakala perjanjian tambahan turut ditandatangani pada 31 Jan lepas.

JBPM turut memaklumkan setakat ini pihaknya telah menerima lima unit CFRT iaitu pada 31 Jan dan 29 Feb lepas manakala empat unit CFRT bagi Fasa 3 telah dibekalkan pada 30 April lepas.

-- BERNAMA