GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan dikendalikan lima kru warga Myanmar yang tiada sebarang dokumen perjalanan diri, di kedudukan 62 batu nautika barat Pulau Kendi dekat sini, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata kapal ronda APMM yang sedang melaksanakan Op Tanjung mengesan sebuah bot nelayan kelas C2 sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda dalam keadaan mencurigakan pada 9.13 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan lima kru pendatang asing berusia antara 20 dan 43 tahun.

"Kesemua lelaki itu ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abd Razak berkata bot bersama lima lelaki itu serta hasil laut sebanyak 150 kilogram dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut dan pihaknya memberi amaran kepada komuniti nelayan terutama pemilik bot agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA