KUALA LUMPUR: Lima peratus daripada keseluruhan kandungan yang diminta oleh MCMC untuk diturunkan dari media sosial melibatkan hantaran berunsur buli. 


Ringkasan AI
  • MCMC meminta penyedia platform media sosial untuk menurunkan kandungan berbahaya. Lima peratus daripada keseluruhan kandungan yang diminta melibatkan hantaran berunsur buli.
  • MCMC sedang menilai model perundangan negara asing untuk membendung buli siber.
  • Insiden seorang pempengaruh media sosial yang bunuh diri selepas dibuli siber menarik perhatian. Isu buli siber akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.


Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata, tindakan pemantauan terhadap kandungan berbahaya sedemikian dilakukan oleh pihaknya secara konsisten. 

“Tidak ada manfaat kepada penyedia perkhidmatan untuk mengawal platform mereka kerana ada nilai komersial (dalam perkongsian-perkongsian bersifat judi, buli dan sebagainya). 

“Sebab itu, mereka biarkan begitu sahaja. Berdasarkan permintaan MCMC untuk kandungan diturunkan daripada penyedia platform, lima teratas termasuklah judi dalam talian (53 peratus), penipuan dalam talian (19 peratus), berita palsu (15 peratus), isu 3R (raja, bangsa dan agama) (6 peratus) dan gangguan (5 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.


Lima peratus kandungan yang diminta MCMC untuk diturunkan dari media sosial ada unsur buli

Tambah Zulkarnain situasi buli di alam siber ini berisiko menjadi lebih parah sekiranya masyarakat berada dalam keadaan lebih gawat dan orang ramai berada dalam emosi yang lebih tertekan.

Bagi membendung hal ini daripada berlanjutan, beliau menjelaskan MCMC sedang menilai model perundangan yang dilaksanakan oleh negara asing dalam membendung buli siber.

“Di negara-negara lain telah mengorak langkah mengawal platform-platform media sosial ini. Di Eropah umpamanya menggunakan undang-undang berkaitan persaingan. Ada pula negara yang menggunakan undang-undang berkaitan pendaftaran. 

“Kita melihat model-model ini boleh disesuaikan dengan keperluan negara kita untuk kawal selia platform media sosial dengan lebih berkesan. Ini kerana, mereka sendiri gagal bertanggungjawab mengawal selia aktiviti-aktiviti yang ada di platform mereka,” ujarnya.

Pada 5 Julai lalu, media melaporkan seorang pempengaruh media sosial maut akibat bunuh diri selepas dibuli siber. 

Insiden tersebut mendapat perhatian Yang Dipertuan Agong dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, isu buli siber akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.


Dialog Tiga Penjuru: Buli Siber, Semakin Melampau