Lima buah kedai di Jalan Besar, Sungai Bakap, dekat sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya bersama jentera bergegas ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 malam.

Semasa tiba di lokasi, tiga buah kedai iaitu kedai makanan, kedai kusyen dan kedai runcit sedang terbakar.

Api marak dan merebak dengan cepat berikutan faktor angin yang kuat, katanya.

Tambahnya, kebakaran turut merebak ke dua buah kedai bersebelahan, iaitu kedai nasi kandar dan kedai vape, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.59 malam.



Api berjaya dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian.

Menurutnya. punca kebakaran dan jumlah kerugian lima buah kedai setingkat itu masih dalam siasatan.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kebakaran tersebut.