Lima warga tempatan termasuk seorang wanita yang dipercayai anggota sindiket penyeludupan dadah ditahan manakala pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.2 juta dirampas dalam operasi selama dua hari bermula Sabtu di Lembah Klang dan Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata kesemua suspek yang berusia 28 hingga 48 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

Katanya penangkapan suspek membawa kepada rampasan dadah seberat 132.8 kilogram merangkumi syabu (43.7 kg), ekstasi (53.95 kg), heroin (31.4 kg), ketamin (3.75 kg) dan 2,000 biji pil disyaki Erimin 5.

"Dadah itu ditemui di dalam rumah dan kereta suspek. Kita (polis) masih siasat berapa lama sindiket ini aktif dalam pengedaran dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohmad berkata bekalan dadah yang dirampas itu dianggarkan dapat menampung lebih 491,000 pengguna.

"Mereka ini dipercayai bergiat aktif memasarkan dadah di pasaran tempatan serta negara jiran," katanya.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM66,068 dan enam buah kenderaan serta sebuah motosikal dan seutas rantai emas serta loket.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 10 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

-- BERNAMA