GEORGE TOWN: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendakwa Kementerian Kewangan ibarat tokong sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Guan Eng, surat tuntutan guaman itu akan dihantar oleh peguamnya kepada Tajuddin.

Pengerusi DAP itu berkata, dakwaan Tajuddin disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan amat bahaya apabila sengaja memainkan isu perkauman di pentas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Guan Eng ambil tindakan undang-undang terhadap Tajuddin

Media sebelum ini melaporkan, Tajuddin sewaktu menjadi ahli panelis program Wacana Sinar mendakwa, Guan Eng menjadikan Kementerian Kewangan sebagai tokong Cina selain meminggirkan pegawai Melayu.

Tajuddin turut mendakwa, Guan Eng membenarkan pegawainya memasuki pejabat kerajaan itu hanya dengan berseluar pendek selain memasang tanglung di pejabat.

Mengulas mengenai jenis tuntutan yang akan diambik terhadap Tajuddin, Guan Eng berkata, terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya.

“Terpulang kepada mahkamah untuk tentukan. Saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang… ini amat bahaya, tuduhan jahat sebegini pada pentas nasional,” kata Guan Eng dalam sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang, di sini, pada Khamis.