KUALA LUMPUR: Seorang saksi utama perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa syarikatnya dihimpit masalah kewangan sehingga menyebabkan beliau terpaksa mencari sumber dana lain untuk menjalankan kajian kemungkinan projek terowong itu.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata berikutan itu, salah seorang kenalan Lim iaitu mendiang Datuk Ewe Swee Kheng bersetuju untuk membantunya dan menjanjikan bayaran tanah agar syarikatnya boleh melengkapkan kajian tersebut mengikut masa yang ditetapkan.

"Pada masa itu, syarikat saya mengalami masalah kewangan selepas pemegang saham yang besar iaitu Beijing Urban Construction Group (BUCG) menarik diri. Saya terpaksa mencari dana lain untuk kajian kemungkinan terowong bawah laut itu.

"Ewe berkata dia pernah berjumpa Lim sebelum ini dan Lim memberi jaminan kepada saya bahawa syarikat saya (Zenith Construction Sdn Bhd) akan diberikan pemilikan Lot 702," kata saksi itu ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Beliau berkata demikian semasa prosiding bagi mencabar kredibiliti Zarul yang didakwa telah memberikan keterangan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan di mahkamah, berhubung kes penipuan ahli perniagaan G.Gnanaraja membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.

Ewe yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, telah meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5 Okt 2021.

Zarul turut mengesahkan antara November 2013 dan Disember 2015 syarikatnya telah menerima RM79.8 juta sebagai sebahagian daripada bayaran untuk kajian kemungkinan.

Ketika ditanya Wan Shaharuddin mengenai perjanjian awal antara syarikatnya dengan kerajaan negeri, Zarul mengesahkan syarikat Zenith Construction sepatutnya layak menerima dua lot tanah iaitu Lot 702 dan Lot 713, selepas syarikatnya melengkapkan kajian kemungkinan tersebut.

Wan Shaharuddin: Adakah hak milik kedua-dua tanah telah dipindahkan kepada Datuk?

Zarul: Ya, tetapi hanya sebahagian hak milik daripada Lot 713 telah dipindahkan.

Wan Shaharuddin: Tetapi syarikat Datuk masih belum siapkan kajian kemungkinan?

Zarul: Ya, masih belum lengkap.

Prosiding mencabar kredibiliti saksi di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 26 Ogos.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

-- BERNAMA