KUALA LUMPUR:Pemimpin politik harus melihat sentimen rakyat sebelum sebarang keputusan untuk mengisytiharkan darurat dilakukan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir berkata, ia juga boleh dilakukan di negeri-negeri tertentu sahaja dan bukan dikuatkuasakan di seluruh negara.

Jelasnya, pelbagai implikasi besar yang melibatkan pemimpin, rakyat, pelabur asing serta pasaran perlu difikirkan sebelum sebarang keputusan mengenai isu itu dibuat.

"Sebelum sebarang keputusan dibuat untuk mengisytihar darurat, pemimpin politik harus melihat juga sentimen rakyat, kalau darurat diisytiharkan, ia dilakukan bukan di seluruh negara.

"Sebagai contoh, kalau kes COVID-19 di Sarawak masih rendah, mungkin darurat diisytiharkan di negeri tertentu sahaja untuk memastikan kerajaan boleh tangani pandemik dengan berkesan.

"Kita tahu pengisytiharan darurat bukan asing, banyak negara di Eropah isytihar darurat untuk tangani masalah ini," katanya dalam sidang Skype di sini, pada Sabtu.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Darurat? Ini perkembangan politik negara

BACA: Perdana Menteri selesai menghadap Agong

BACA: 
Mungkinkah kerajaan akan isytihar darurat kesihatan?

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Pahang.

Semalam juga di sebelah pagi berlangsung Mesyuarat Khas Kabinet yang diadakan di Putrajaya dipercayai antara lain membincangkan beberapa cadangan berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan bulan depan dan cara mengatasi gelombang ketiga wabak COVID-19.

Salah satu pilihan ketika ini adalah darurat ekonomi, yang boleh menggagalkan kemungkinan pilihan raya dalam masa terdekat, sekali gus memberikan lebih banyak masa kepada kerajaan untuk mengendalikan pandemik COVID-19 tanpa terganggu oleh krisis politik.

BACA: Apa itu Darurat? Ini 15 perkara anda perlu tahu

Dalam pada itu kata Dr Jeniri, jika darurat diisytiharkan, ia tidak akan sama seperti peristiwa 13 Mei yang menyebabkan Parlimen digantung.

Ujarnya, darurat jika diisytiharkan hanya akan membabitkan tumpuan menangani soal ekonomi dan seharusnya tidak melibatkan aspek ketenteraan.