SEPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan input Belanjawan 2025, dengan menumpukan pada menangani serta mengurangkan kos sara hidup.

Menteri berkaitan Datuk Armizan Mohd Ali berkata hal itu susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap kementerian mengadakan sesi libat urus untuk belanjawan tersebut.

Setakat ini katanya, KPDN telah melaksanakan dua sesi libat urus dengan sektor peruncitan dan badan bukan kerajaan (NGO) pengguna.

"Kita (juga) bentangkan dapatannya dalam bentuk nota Jemaah Menteri kerana ada isu-isu melibatkan skop (purview) kementerian lain," katanya.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada 18 Okt ini, bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera", akan memberikan tumpuan kepada aspek menangani dan mengurangkan kos sara hidup.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata isu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang terkesan.

Sementara itu, Armizan berkata dalam menangani kos sara hidup, KPDN akan memberikan fokus pada aspek peningkatan dan penciptaan pendapatan kepada rakyat.

"Sebelum ini, tumpuan kita perlu kawal harga barangan, perkhidmatan, tapi penting (untuk) lihat aspek untuk tingkatkan pendapatan boleh guna rakyat," katanya.

-- BERNAMA