Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Lorong Haji Taib 2, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi itu, mangsa yang berusia sekitar 60 tahun ditemui dalam sebuah bilik di tingkat dua rumah kedai terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.37 pagi, dua jentera dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Bomba Titiwangsa dan Sentul dikejarkan ke lokasi.

"Kebakaran berlaku di tingkat dua rumah kedai itu dan api dapat dikawal dalam masa 15 minit. Apabila api berjaya dipadamkan pasukan menjumpai mangsa dalam keadaan rentung," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan oleh unit siasatan dan Unit Anjing Pengesan PDRM (K9) bagi mengenai pasti punca sebenar kebakaran.