Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk P. Ravinthran yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing menolak rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap Maidin Ibnuhashim.
Dalam alasan penghakiman yang disiarkan melalui laman web kehakiman pada 22 Julai lepas, Hakim Choo berkata keputusan Mahkamah Tinggi untuk mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman terhadap Maidin atas kesalahan membunuh tanpa niat, dan bukannya membunuh, adalah tepat.
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah menilai bukti pada akhir kes pembelaan dan mendapati tiada bukti mencukupi untuk membuktikan tuduhan bunuh.
Hakim Mahkamah Tinggi juga katanya, telah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan Mahkamah Rayuan mendapati tiada sebab untuk mengganggu keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu.
Maidin, 59, pada mulanya didakwa atas kesalahan membunuh Nurul Shafika yang berusia sembilan bulan di rumah sewanya di Kampung Gersik Lama di Labuan antara 10 Ogos 2018 hingga 13 Ogos 2018.
Pada September 2022, Mahkamah Tinggi mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tuduhan bunuh terhadap lelaki itu.
Sebaliknya, Mahkamah Tinggi mensabitkan Maidin atas kesalahan membunuh tanpa niat selepas mendapati bukti mencukupi untuk kesalahan terbabit dan menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Ogos 2018.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Rayuan, memohon untuk mengenakan semula tuduhan membunuh.
Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, saksi yang merupakan seorang kanak-kanak perempuan memberi keterangan bahawa dia melihat Maidin mencelupkan jari tangan dan kaki bayi itu ke dalam air panas dari periuk nasi dan juga mendukung bayi itu di bawah paip dengan membiarkan air mengalir ke atas kepala dan wajahnya.
-- BERNAMA